KHUTBAH
RASULULLAH S.A.W BERKENAAN DAJJAL
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata: “Rasululah s.a.w telah
berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh
masalah Dajjal. Baginda telah bersabda: “Sesungguhnya tidak ada fitnah
(kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa
oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya
tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang
terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi (angkatan) kamu.
Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku
adalah sebagai pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku,
maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga
orang-orang mukmin.
Dajjal itu akan datang nanti
dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan mempengaruhi manusia dengan begitu
cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan
saya terangkan kepada kamu ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh
nabi-nabi sebelumku kepada umatnya.
Pada mulanya nanti Dajjal
akan mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah, tidak ada lagi nabi sesudah aku.
Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar
tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan
Allah SWT tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua
mata Dajjal itu tertulis KAFIR, yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang
pandai membaca atau buta huruf.
Di antara fitnah Dajjal itu
juga dia akan membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurga
sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa di antara kamu yang
disiksanya dengan nerakanya, hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah dan
hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk sebagaimana
api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk.
“Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang
Arab: “Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama
meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?” Orang Arab itu
akan berkata: “Tentu.” Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau
ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun sama. Ibu bapanya
berkata kepadanya: “Wahai anakku, ikutilah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu.”
di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah
dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: “Lihatlah apa yang akan
kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia semula. Dengan
izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian Laknatullah Alaih itu
bertanya: “Siapa Tuhanmu?” Orang yang dia bunuh itu, yang kebetulan orang
beriman, menjawab: “Tuhanku adalah Allah, sedangkan engkau adalah musuh Allah.”
Orang itu bererti lulus dalam ujian Allah dan dia termasuk orang yang paling
tinggi darjatnya di syurga.”
Kata Rasulullah s.a.w lagi:
“Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan tiba-tiba
hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan tumbuh-tumbuhannya
tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling berat bagi manusia, Dajjal itu
datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai
Tuhan, maka disebabkan yang demikian itu tanam-tanaman dan ternakan mereka
tidak menjadi.
“Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya
kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang
demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.
“Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak
didatangi Dajjal kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat
ditembusi oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak
pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke
pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi.
Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak tahan lagi
tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan orang-orang yang
sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota
Madinah.”
Semoga
kita dapat mengambil manfaat darinya , mencegah mana-mana yang tidak elok,
berusaha untuk menguatkan umat Islam dengan bersatu di bawah Tauhid yang satu,
dan sentiasa berdoa kepada Allah agar dilindungi dari fitnah Dajjal.
Semoga
kita dapat menjadi manusia yang membantu perjuangan Nabi Isa a.s nanti dan
sama-sama menegakkan HUKUM ALLAH kembali di muka bumi yang sudah banyak
tercemar dan ternoda ini.
Petikan dari
laman di bawah,