Salahudin
Al-Ayubi atau nama sebenarnya Sholahuddin Yusuf bin Ayyub, Atau Saladin
–menurut panggilan orang Barat– lahir pada tahun 1137M, di kota Tikrit,
berhampiran dengan Sungai Tigris, kira-kira 140 km dari kota Baghdad.
Beliau dari suku bangsa Kurdish dan semasa
dilahirkan keluarganya dihalau dari Tikrit oleh pemerintah Baghdad kerana
dituduh penghianat. Dalam perjalanan ke Alleppo Salahudin dilahirkan sehingga
ayahnya berkata Anakku ini dilahirkan ketika aku dalam kesusahan. Aku bimbang
kelahirannya membawa sial. Tidak siapa menyangka bayi itu menjadi pahlawan
terbilang.
Semasa kecilnya Salahuddin Al Ayubi mendapat
pendidikan ilmu ketenteraan daripada bapa saudaranya Asaddin Shirkuh atau
Assaddudin Shirkuwah seorang panglima perang.
Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak
Kurdish biasa. Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu sains di
samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada seorangpun yang
menyangka suatu hari nanti dia akan merampas kembali bumi Palestin dari tentera
Salib. Walau bagaimanapun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin
besar pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya
ke arah itu.
Kerjayanya bermula sebagai tentera berkuda Al-Malik
Nuruddin, sultan Aleppo, kemudian dia diperintahkan untuk pergi ke Mesir. Pada
masa itu Mesir diperintah oleh kerajaan Fatimiyah yang berfahaman Syiah. Pada
mulanya Salahudin berasa berat hati hendak berangkat ke Mesir kerana lebih
sayangkan Aleppo. Sesungguhnya Allah perancang yang Maha Bijaksana seperti yang
termaktub dalam Al Quran; Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat
baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu
(Al-Baqarah:216).
Apabila Salahudin sampai di Mesir keadaan tiba-tiba
berubah. Dia yakin Allah telah memberi tanggung jawab kepadanya untuk
membebaskan Baitul Muqaddis dari penaklukan Kristian. Dia menjadi seorang yang
zuhud dan tidak tergoda dengan kesenangan dunia.
Stanley Lane Poole mencatatkan bahawa Salahuddin
mengubah cara hidupnya kepada yang lebih keras. Dia bertambah warak dan
menjalani hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Dia mengenepikan corak
hidup senang dan memilih corak hidup sederhana yang menjadi contoh kepada
tenteranya. Dia menumpukan seluruh tenaganya untuk membina kekuatan Islam bagi
menawan semula Jerusalem. Salahuddin pernah berkata, Ketika Allah
menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin DIA juga bermaksud Palestin untukku.
Ini menyebabkan DIA memenangkan perjuangan Islam.
Sehubungan dengan itu Salahudin telah menyerahkan
dirinya untuk jalan jihad. Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di
jalan Allah. Bahauddin, jurutulis Sultan Salahudin mencatatkan, semangat
Salahuddin sentiasa berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah
menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya.Dia
sentiasa meluangkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya,
mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang
bercakap kepadanya berkenaan jihad dia akan memberikan sepenuh perhatian.
Sehubungan dengan ini dia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di
istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan
mendapat kepercayaannya. Apabila dia telah memulakan jihad melawan tentera
salib dia akan menumpahkan seluruh perhatiannya kepada persiapan perang dan
menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan dia bagaikan seorang ibu
yang kehilangan anak. Dia akan bergerak dari satu penjuru ke penjuru yang lain
dalam usaha menaikkan semangat tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan
Allah. Dia sanggup pergi ke pelosok tanah air dengan mata yang berlinang
mengajak umat Islam supaya bangkit membela Islam. Ketika perang berlansung dia
lebih suka berpuasa. Semasa mengepung Acre dia demam namun tetap berpuasa.
Doktor peribadinya berkata bahawa Salahuddin hanya berbuka dengan beberapa suap
makanan sahaja kerena tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu.
Kemenangan peperangan Hittin telah membuka jalan
mudah kepada Salahuddin untuk menawan Baitul Muqaddis. Bahauddin telah
mencatatkan bahawa Salahuddin sangat-sangat berhajat untuk menawan baitul
Muqaddis Hajatnya tercapai pada hari jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari
Israk Mikraj, Salahuddin telah memasuki Masjidil al Aqsa.
Dalam catatan Bahauddin menyatakan inilah hari
kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama,
pembesar-pembesar, peniaga dan orang-orang biasa datang merayakan kemenangan
ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua
ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada
Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan
Allahhu Akbar dan Tiada tuhan melainkan Allah telah bergema ke angkasa.
Sifat penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa
peperangan ini sangat jauh berbeda daripada kekejaman tentera Salib. Ahli
sejarah Kristian pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan
hati Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Dia telah
menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketinggian akhlaknya ketika
orang-orang Kristian menyerah kalah.Tenteranya sangat bertanggung jawab,
menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan hinggakan
tiada kedengaran orang-orang Kristian diperlakukan tidak baik.
Selanjutnya Lane-Poole menuliskan bagaimana pula
tindak-tanduk tentera Kristian ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada
tahun 1099. Telah tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred
menunggang kuda di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan
mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar dan
dipanah dari jarak dekat dari atas bumbung dan menara rumah-rumah ibadah. Darah
yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan orang-orang Islam secara
beramai-ramai telah mencemarkan kesucian gereja di mana sebelumnya kasih sayang
sentiasa diajarkan.
Maka sangat bernasip baik orang-orang Kristian
apabila mereka dilayan dengan baik oleh Salahuddin. Lane-Poole juga menuliskan,
jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui mengenai Salahuddin, maka
ia sudah cukup membuktikan dialah seorang penakluk yang paling penyantun dan
baik hati di zamannya bahkan mungkin di sepanjang zaman.
Lane-Poole juga menuliskan dalam setiap peperangan
Salahuddin sentiasa berbincang dalam majlis yang membuat keputusan-keputusan
ketenteraan. Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri.
Dalam majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa yang
lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam majlis itu
ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat lamanya,
pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha. Semuanya mempunyai
sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan. Pendeknya semuanya
menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa pun perbincangan dan
perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan ketaatan mereka kepada
Salahuddin.
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin
telah mencatatkan berkenaan kewarakan Salahuddin. Dia sentiasa melakukan
sembahyang berjemaah. Bahkan ketika sakitnya pun dia memaksa dirinya berdiri di
belakang imam. Dia sentiasa mengerjakan sembahyang Tahajjud. Bahauddin
melihatnya sentiasa sembahyang di belakang imam ketika sakitnya, kecuali tiga
hari terakhir di mana ia telah tersangat lemah dan selalu pingsan.
Dia tidak pernah tinggal sembahyang fardhu. Tetapi
dia tidak pernah membayar zakat harta kerana tidak mempunyai harta yang cukup
nisab. Dia sangat murah hati dan akan menyedekahkah apa yang ada padanya kepada
fakir miskin dan kepada yang memerlukan hinggakan ketika wafatnya dia tidak
meninggalkan harta. Bahauddin juga mencatatkan bahawa Salahuddin tidak pernah meninggalkan
puasa Ramadhan kecuali hanya sekali apabila dinasihatkan oleh Kadi Fadhil.
Ketika sakitnya pun ia berpuasa sehinggalah doktor menasihat kannya dengan
keras supaya berbuka. Lalu ia berbuka dengan hati yang berat sambil berkata,
Aku tak tahu bila ajal akan menemuiku. Maka segera ia membayar fidyah.
Dalam catatan Bahauddin juga menunjukkan Salahuddin
teringin sangat menunaikan haji ke Mekah tetapi dia tidak pernah berkesempatan.
Pada tahun kemangkatannya, keinginannya menunaikan haji telah menjadi-jadi
tetapi ditakdirkan tidak kesampaian. Dia sangat gemar mendengar bacaan Quran.
Dalam medan peperangan ia acap kali duduk mendegar bacaan Quran para pengawal
yang dilawatnya sehingga 3 atau 4 juzuk semalam. Dia mendengar dengan sepenuh
hati sehingga air matanya membasahi dagunya.
Dia juga gemar mendengar bacaan hadis Rasulullah
saw. Dia akan memerintahkan orang-orang yang bersamanya duduk apabila hadis
dibacakan. Apabila ulama hadis datang ke bandar, dia akan pergi mendengar
kuliahnya. Kadang kadang dia sendiri membacakan hadis dengan mata yang
berlinang.
Salahuddin sangat yakin dan percaya kepada
pertolongan Allah. Dia biasa meletakkan segala harapan nya kepada Allah
terutama ketika dalam kesusahan. Pada satu ketika dia berada di Jerusalem yang
pada masa itu seolah-olah tidak dapat bertahan lagi dari pada kepungan tentera
bersekutu Kristian. Walaupun keadaan sangat terdesak dia enggan untuk
meninggalkan kota suci itu. Malam itu adalah malam Jumaat musim sejuk.
Bahaauddin mencatatkan, Hanya aku dan Salahuddin sahaja pada masa itu. Dia
menghabis kan masa malam itu dengan bersembahyang dan munajat.
Aku berada di sebelahnya ketika dahinya mencecah
bumi sambil menangis hingga air matanya mambasahi janggutnya dan menitik ke
tempat sembahyang. Aku tidak tahu apa yang didoakannya tetapi aku melihat
tanda-tanda doanya dikabulkan sebelum hari itu berakhir. Perbalahan berlaku di
antara musuh-musuh yang menatijahkan berita baik bagi kami beberapa hari
kemudian. Akhirnya tentera salib membuka khemah-khemah mereka dan berangkat.
Salahuddin tidak pernah gentar dengan ramainya
tentera Salib yang datang untuk menentangnya. Dalam satu peperangan tentera
Salib berjumlah sehingga 600,000 orang, tetapi Salahuddin menghadapinya dengan
tentera yang jauh lebih sedikit. Berkat pertolongan Allah mereka menang,
membunuh ramai musuh dan membawa ramai tawanan. Ketika mengepung Acre, pada
satu petang lebih dari 70 kapal tentera musuh beserta senjata berat mendarat.
Boleh dikatakan semua orang merasa gentar kecuali Salahuddin. Dalam satu
peperangan yang sengit semasa kepungan ini, serangan mendadak besar-besaran
dari musuh telah menyebabkan tentera Islam kalang kabut. Tentera musuh telah
merempuh khemah-khemat tentera Islam bahkan telah sampai ke khemah Salahuddin
dan mencabut benderanya. Tetapi Salahuddin bertahan dengan teguhnya dan berjaya
mengatur tenteranya kembali sehingga dia berjaya membalikkan kekalahan menjadi
kemenangan.
Musuh telah kalah teruk dan berundur meninggalkan
lebih kurang 7,000 mayat-mayat. Bahauddin ada mencatatkan betapa besarnya
cita-cita Salahuddin. Suatu hari Salahuddin pernah berkata kepadanya, Aku
hendak beri tahu padamu apa yang ada dalam hatiku. Apabila Allah mentakdirkan
seluruh tanah suci ini di bawah kekuasaanku, aku akan serahkan tanah-tanah kekuasaanku
ini kepada anak-anakku, kuberikan arahan-arahanku yang terakhir lalu ku ucapkan
selamat tinggal. Aku akan belayar untuk menaklukkan pulau-pulau dan tanah-tanah
yang lain. Aku tak akan meletakkan senjata ku selagi masih ada orang-orang
kafir di atas muka bumi ini sehingga ajalku sampai.
Salahuddin memiliki asas pengetahuan agama yang
kukuh. Dia juga mengetahui setiap suku-suku kaum Arab dan adat-adat resam
mereka. Bahkan dia mengetahui sifat-sifat kuda Arab walaupun dia sebenarnya
orang Kurdish. Dia sangat gemar mengumpulkan pengetahuan dan maklumat dari
kawan-kawannya dan utusan-utusannya yang sentiasa berjalan dari satu penjuru ke
satu penjuru negerinya. Di samping Quran dia juga banyak menghafal syair-syair
Arab. Lane-Poole juga ada menuliskan bahawa Salahuddin berpengetahuan yang
dalam dan gemar untuk mendalami lagi bidang-bidang akidah, ilmu hadis serta
sanad-sanad dan perawi-perawinya, syariah dan usul figh dan juga tafsir Quran.
Kejayaan terbesar Sultan Salahudin Al Ayubi ialah
mengalahkan tentera Salib pada tahun 1171. Baginda memerintah selama 22 tahun
telah membina kubu pertahanan dikenali sebagai al-Qalaah (Citadel) yang mana
melindungi kota Kaherah dan kota lama al-Fustat dari serangan musuh. Selepas
beliau meninggal pada tahun 1193 di Damsyik, Syria, pewaris-pewarisnya telah
memerintah Mesir sehingga tahun 1250.
Stanley Lane Poole (1914) seorang penulis Barat
menyifatkan Salahuddin sebagai seorang yang memilliki kelebihan daripada orang
lain kerana menunjukkan akhlak yang mulia. Menurutnya pada hari tentera salib
menakluk Jerusalem pada tahun 1099, mereka telah menyembelih orang-orang Islam
termasuk wanita dan kanak-kanak, bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam.
Pada keesokan harinya mayat-mayat orang Islam bertimbun setinggi paras lutut di
sepanjang jalan di Jerusalem.
Tetapi apabila Sultan Salahudin al-Ayubi menakluk
kembali Jerusalem pada 1187, tentera Islam tidak membunuh seorang pun penduduk
Jerusalem , malah pada keesokan harinya Salehudin telah membenarkan penganut
semua agama (tidak kira sama ada Islam atau Kristian atau Yahudi) untuk
bersembahyang di tempat-tempat suci masing-masing di bandar tersebut.
Satu lagi kebaikan yang ditunjukan oleh Sultan
Salahudin ialah kepada musuhnya Raja Richard Berhati Singa yang datang dari
England. Ketika peperangan sedang berlansung, Raja Richard jatuh sakit lalu
Sultan Saladin mengirimnya buah-buahan segar, air sejuk dan seorang dokter.
Kerana terharu dengan kebaikan Sultan Salahudin maka akhirnya ditandatangani
perjanjian damai pada 1 September 1192 sehingga orang-orang Eropah berasa
takjub bagaimana agama Islam boleh melahirkan seorang pahlawan yang baik
seperti Salahudin Al Ayubi.
Sebelum meninggal dunia Sultan Salahudin Al Ayubi
berpesan kepada anak-anaknya; "Jangan kamu menumpahkan darah, kerana
apabila darah telah terpercik tidak ada yang tertidur."
Pada hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah
Salahuddin ke rahmatullah pada usia 57 tahun. Bahauddin bin Shaddad, penasihat
utama Salahuddin telah menulis mengenai hari-hari terakhir Salahuddin.
Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas jatuh sakit,
dia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Jaafar seorang yang warak telah
diminta menemani Salahuddin di Istana supaya membaca al Quran. Memang pada
malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin. Syeikh Abu
Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang lepas membacakan
Quran. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan.
Apabila Syeikh Abu Jaafar membacakan ayat, Dialah
Allah, tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata
(Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya berseri dan
dengan nada yang gembira ia berkata, Memang benar tidak ada Tuhan selain Allah.
Selepas dia mengucapkan kata-kata itu dia menghembuskan nafasnya yang terakhir
sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak
meninggalkan harta kecuali 1 dinar 47 dirham. Harta yang ditinggalkannya tidak
cukup untuk belanja pengkebumiannya. Bahkan kain kafan pun diberikan oleh
seorang menterinya.